Kisah Cinta Syeikh San'an

✄░ Assalamualaikum pelayar alam maya?? ღ Nemo Sudah Nak buka Mulut?? ✫


  
Syeikh San'an ialah seorang aulia yang agung di zamannya kerana beliau telah berjaya mencapai peringkat kesempurnaan diri hingga ke peringkat yang tinggi.

Selama lima puluh tahun Syeikh San'an tinggal dengan mengasingkan diri bersama empat ratus muridnya yang berlatih diri siang dan malam.

Beliau mempunyai banyak ilmu dan juga telah dianugerah petunjuk zahir dan batin.

Sebahagian besar dari hidupnya telah dilaluinya dengan mengerjakan ibadah haji ke Mekah.

Solat dan puasanya tiada terhitung lagi dan beliau tidak meninggalkan sedikit pun amalan-amalan Ahli Sunnah.

Beliau dapat melakukan karamah dan nafasnya boleh menyembuhkan mereka yang sakit dan menderita.

Suatu malam Syeikh San'an bermimpi pergi dari Mekah ke Yunani dan di sana beliau menyembah berhala.

Apabila Syeikh San'an terjaga, beliau dicekami kesedihan dari mimpi yang menekan dirinya.

Beliau pun berkata kepada murid-muridnya, "Aku harus segera berangkat ke Yunani untuk mencari apakah pengertian mimpi ini."

Bersama empat ratus muridnya Syeikh San'an meninggalkan Ka'bah dan pada waktunya sampailah beliau ke Yunani.

Mereka pun berjalan dari hujung ke hujung negeri itu.

Pada suatu hari kebetulan apabila mereka tiba di suatu tempat, mereka terlihat seorang gadis sedang duduk di serambi.

Gadis itu adalah seorang bangsa Nasrani.

Airmuka gadis itu menunjukkan bahawa dia seorang yang gemar merenungkan perkara-perkara mengenai Ketuhanan.

Kecantikannya bagai matahari dalam seri kegemilangannya dan keanggunannya bagai gugusan bintang.

Oleh kerana cemburu akan seri cahaya si gadis, bintang pagi lama menetap lena di atas rumahnya.

Sesiapa sahaja yang terpandang rambut gadis itu pasti hatinya akan terpikat sehingga sanggup menjadi seorang Nasrani.

Ini kerana nafsu berahinya akan terbangkit tatkala melihat manikam merah bibirnya yang boleh membuat yang memandang merasa kebingungan.

Langit pagi di Yunani nampak lebih hitam warnanya kerana rambut hitam gadis Nasrani itu dan negeri itu kelihatan tidak rata karena keindahan tahi lalatnya.

Kedua matanya bagai umpan bagi para pencinta, kedua alisnya yang melengkung pula merupakan dua bilah sabit di atas bulan kembar.

Apabila sinaran cahaya menyinari biji matanya, seratus hati tentu akan menjadi mangsanya.

Wajahnya pula bersinar bagai nyala api yang hidup, dan manikam merah bibirnya yang basah dapat membuat semesta dunia dahaga.

Bulu matanya yang longlai ibarat seratus pisau belati dan mulutnya begitu kecil sehingga tiada kata yang dapat terlafaz darinya.

Pinggangnya sehalus sehelai rambut terhimpit sepanjang lingkaran zunnar (tali pinggang) dan lekuk perak dagunya begitu menghidupkan bagai khutbah-khutbah Isa.

Apabila gadis itu menyingkap sudut tabir hijabnya, hati Syeikh San'an bergetaran bagai api yang menyala dan seutas rambutnya mengikat pinggang syeikh itu ibarat seratus zunnar.

Syeikh San'an tidak dapat mengalihkan pandangan matanya dari gadis Nasrani ini.

Demikian besar cintanya sehingga maksudnya terluncur dari tangannya.

Kekufuran dari rambut si gadis mengegarkan keimanan Syeikh San'an itu.

Syeikh itu berseru, "Wahai betapa hebatnya cinta yang aku rasakan terhadap gadis ini. Apabila agama membebaskan kita, alangkah beruntungnya hati ini!"

Ketika para pengikutnya sedar apa yang telah terjadi dan mengetahui keadaan Syeikh San'an, mereka merenung memikirkannya manakala sebahagian mulai menyadarkannya.

Akan tetapi Syeikh San'an enggan mendengar nasihat pengikutnya.

Beliau terpaku berdiri sahaja siang dan malam dengan matanya merenung ke serambi gadis itu dengan mulutnya ternganga.

Bintang-bintang yang bersinar bagai cahaya lampu meminjam kepanasan dari orang mulia ini yang terbakar hatinya ini.

Cinta Syeikh San'an mekar membesar hingga beliau lupa akan dirinya.

"Wahai Maha Esa," doanya, "dalam hidup hamba ini, hamba telah berpuasa dan menderita tetapi belum pernah hamba menderita seperti ini.

Hamba dalam keazaban kini. Malam hari dirasanya sepanjang dan sehitam rambut gadis Nasrani itu.

Di manakah lampu Syurga?

Adakah keluhan-keluhan hamba telah memadamkannya ataukah lampu itu menyembunyikan diri lantaran cemburu?

Di manakah keberuntungan nasib diri hamba?

Mengapakah ia tidak menolong hamba mendapatkan cinta gadis itu?

Dimanakah akal budi hamba agar hamba dapat mempergunakan pengetahuan hamba?

Di manakah tangan hamba untuk menyucikan kepala hamba?

Di manakah kaki hamba untuk berjalan mendapatkan kekasih hamba dan dimanakah pancaindera hamba untuk melihat wajahnya?

Di manakah kekasih hamba yang akan memberikan hatinya pada hamba? Apakah artinya cinta ini, duka ini, kepedihan ini?"

Teman seperjuangan berjumpa dengan Syeikh San'an lagi.

Salah seorang daripadanya berkata, "Sedarlah Tuan! Musnahkanlah godaan ini. Berpeganglah pada diri Tuan sendiri dan lakukan ibadah penyucian yang ditetapkan."

Jawab Syeikh San'an, "Tidakkah kalian tahu bahwa malam ini aku telah melakukan seratus kali penyucian dengan darah hatiku?"

Yang lain berkata, "Di manakah untaian tasbih Tuan?

Bagaimana dapat Tuan berdoa tanpa itu?"

Jawabnya, "Telah kucampakkan untaian tasbihku agar aku dapat mengenakan zunnar orang Nasrani."

Yang lain lagi berkata, "Wahai syeikh yang mulia, jikalau Tuan telah berdosa lekaslah bertaubat."

"Aku bertaubat kini," jawabnya, "kerana telah mengikuti hukum yang sebenar, aku hanya ingin meninggalkan hal yang bukan-bukan itu."

Seorang lagi berkata, "Tinggalkan tempat ini dan marilah menyembah yang Maha Esa."

Jawab Syeikh San'an, "Kalaulah patung pujaanku ada di hadapanku, akan akau sujud di hadapannya."

Yang lain pun berkata, "Kalau demikian, Tuan tidak pula berusaha untuk bertaubat!

Apakah Tuan bukan lagi pengikut Islam?"

Jawab Syeikh San'an, "Tiada orang yang bertaubat lebih dari aku. Aku menyesal bahawa selama ini aku tidak pernah bercinta sehingga kini."

Yang lain berkata lagi, "Neraka menunggu Tuan jika Tuan terus juga di jalan ini. Jagalah diri Tuan agar Tuan dapat terhindar daripadanya."

Jawabnya, "Jika adanya neraka, maka itu hanyalah dari keluhan-keluhanku yang akan mengisi ketujuh-tujuh neraka itu."

Mengetahui bahwa kata-kata mereka tidak akan memberi sebarang kesan kepada Syeikh San'an meskipun mereka merayu padanya sepanjang malam, maka mereka pun berlalu pergi.

Pagi hari di Turki bagai pedang dan perisai emas yang memenggal kepala Malam yang Hitam sehingga dunia bayangan bermandikan cahaya terang matahari.

Manakala Syeikh San'an yang telah ditakluki dalam permainan cinta, hidup di jalanan bersama anjing-anjing, dan sebulan lamanya beliau duduk di pinggiran jalan dengan harapan akan dapat melihat wajah gadis pujaannya.

Debu ialah tempat tidurnya dan ambang pintu rumah gadis itu bantalnya.

Melihat keadaan Syeikh San'an yang dalam keadaan berputus asa dalam bercinta, gadis Nasrani yang jelita itu pun mengenakan tabir mukanya lalu keluar menemuinya.

Gadis itu berkata kepadanya, "Wahai syeikh! Bagaimana pula seorang zahid sepertimu, begitu mabuk dengan minuman kemusyrikan dan duduk di sebuah jalanan Nasrani dalam keadaan sedemikian?

Jika kau terus memujaku seperti ini, kau akan jadi gila."

Jawab Syeikh San'an, "Ini kerana kau telah mencuri hatiku. Kembalikanlah hatiku itu atau sambutlah cintaku. Jika kau menghendaki, akan aku korbankan hidupku untukmu.

Akan tetapi kau dapat memulihkannya kembali dengan hanya sentuhan bibirmu kerana hatiku terbakar di sebabkanmu.

Telah aku cucurkan airmata bagai hujan dan mataku tidak dapat melihat lagi.

Hatiku hanya dipenuhi darah.

Andaikata aku dapat bersatu denganmu, hidupku akan pulih kembali.

Kau matahari, aku bayang-bayangnya.

Aku sekarang seperti kehilangan, tetapi jika kau mahu menerima diriku, aku akan kuasai tujuh kubah dunia di bawah sayapku.

Ku mohon padamu, jangan tinggalkan aku!"

"Wahai orang tua yang bercakap kosong!" kata gadis itu, "tidakkah kau malu menggunakan kapur barus untuk kain kafanmu?

Semestinya kau merasa malu menyarankan hubungan mesra padaku dengan nafasmu yang dingin!

Lebih baik kau bungkus dirimu dengan kain kafan daripada kau menghabiskan masa mu memikirkan aku.

Kau tidak mungkin dapat menghidupkan cinta.

Pergilah!"


Syeikh San'an menjawab, "Katakan apa sahaja yang kau suka namun aku tetap cinta padamu.

Cinta tidak mengerti samada seseorang itu tua atau muda, cinta mempengaruhi segala hati."

Gadis itu berkata, "Baiklah, jikalau keinginanmu tidak boleh ditolak maka dengarlah aku.

Kau harus meninggalkan Islam kerana cinta yang tidak menyamakan dirinya dengan yang dicintainya hanyalah sekadar warna dan wangian."

Syeikh San'an membalas, "Akan aku lakukan apa yang kau inginkan.

Akan aku tunaikan segala yang kau perintahkan, kau yang bertubuh seperti perak.

Aku hambamu.

Ikatkanlah seutas rambutmu yang ikal di leherku sebagai peringatan padaku tanda pengabdianku."

"Jika kau seorang pengamal dari apa yang kau katakan," kata gadis Nasrani itu, "kau harus melakukan empat perkara ini:

1. Bersujudlah di hadapan patung-patung itu,
2. Bakarlah Quran,
3. Minumlah arak, dan
4. Tutuplah mata terhadap agamamu."

Syeikh San'an berkata, "Aku akan minum arak demi kejelitaanmu, tetapi ketiga perkara yang lain itu tidak dapat aku lakukan."

"Baiklah," kata gadis itu, "mari minum arak bersamaku, kemudian kau pun akan segera mau menerima syarat-syarat yang lain itu."

Dibawanya Syeikh San'an ke kuil para sihir di mana sebuah jamuan yang sangat aneh sedang diadakan.

Mereka duduk di majlis itu di mana pelayan wanitanya memang terkenal dengan kecantikkannya.

Gadis itu mempersilakan satu piala arak pada Syeikh San'an.

Ketika syeikh itu menyambutnya dan terpandang kedua manikam merah bibir kekasihnya yang tersenyum bagai dua tutup kotak perhiasan, api cinta mula berkorbar dalam kalbunya dan aliran darah menderas ke matanya.

Syeikh San'an berusaha mengingat kembali kitab-kitab suci tentang agama yang telah dibaca dan ditulisnya, dan al Qur'an yang begitu dikenalnya.

Akan tetapi apabila arak mengalir dari piala ke dalam perutnya, dia pun lupa akan semua itu.

Maka pengetahuan kerohaniannya hilang lenyap.

Syeikh San'an kehilangan kemahuannya yang bebas dan membiarkan hatinya terluncur lepas dari tangan.

Tatkala Syeikh San'an berusaha menyentuh leher si gadis, gadis itu pun berkata,

"Kau hanya pura-pura mencintaiku. Kau tidak mengerti rahasia cinta.

Jika kau merasa yakin akan cintamu, kau mungkin dapat mengusap ikal rambutku yang berlingkar mayang.

Tenggelamkan dirimu dalam kekufuran melalui ikal rambutku yang kusut.

Selusuri ikal rambutku dan tanganmu pun akan dapat menyentuh leherku.

Akan tetapi jika kau tidak mahu mengikuti cara yang kutunjukkan itu, bangunlah dan pergi dan kemudian pakailah jubah serta tongkat orang fakir."

Mendengar ini, Syeikh San'an yang mabuk cinta itu merasa hampa dan kini dia pun menyerah tanpa rungutan lagi akan nasibnya.

Arak yang telah diminumnya membuat kepalanya terasa bergoyang seperti kompas.

Arak itu dari anggur yang ranum tetapi cintanya muda.

Bagaimana lagi keadaannya, jika tidak mabuk dan lemas dalam cinta?

"Wahai Seri Cahaya Bulan," katanya, "katakan padaku apa yang kau inginkan. Jika aku bukan penyembah patung selagi aku masih sedar, maka kini di saat aku mabuk akan aku bakar Qur'an di hadapan patung pujaan."

Gadis jelita itu menjawab, "Kini kau benar-benar berhak menjadi suamiku.

Kau amatlah sesuai buatku. Selama ini kau sememangnya mentah dalam bercinta.

Akan tetapi setelah memperoleh pengalaman ini, kau telah matang.

Bagus!"

Apabila orang-orang Nasrani mendengar bahwa Syeikh San'an telah memeluk agama mereka, maka mereka membawanya yang dalam keadaan mabuk ke gereja dan menyuruhnya mengenakan zunnar.

Syeikh San'an memakai tali pinggang itu dan mencampakkan jubah darwisnya ke dalam api.

Dengan ini, Syeikh San'an meninggalkan agamanya dan beliau mematuhi kebiasaan agama Nasrani.

Kemudian Syeikh San'an berkata pada gadis itu, "Wahai puteri yang menawan hati!! Tiada seorang pun yang pernah berbuat untuk seorang wanita sejauh mana yang aku lakukan itu demi sebuah cinta.

Aku telah menyembah patung-patung pujaanmu, aku telah meneguk arak, dan aku telah meninggalkan agamaku yang sejati.

Semua ini aku lakukan demi cintaku padamu dan agar aku dapat memiliki dirimu."

Gadis itu pun berkata lagi kepadanya, "Wahai si hamba cinta yang bercakap kosong!

Bagaimana mungkin wanita seperti aku menyatukan diri dengan seorang fakir?

Aku memerlukan wang dan emas.

Oleh kerana kau tidak mempunyai apa-apa, pergilah kau sama sekali."

Syeikh San'an menjawab, "Wahai wanita yang jelita, tubuhmu seperti pohon saru dan dadamu seperti perak.

Jika kau menolakku, kau akan mendorongku ke dalam keadaan kedukaan.

Fikiran untuk memiliki dirimu telah menjerumuskanku ke dalam keresahan.

Lantaran kau, kawan-kawanku telah menjadi musuhku.

Sepertimana kau, demikianlah mereka.

Apakah dayaku kini?

"Wahai kekasihku, lebih baik aku di neraka bersamamu dari ke syurga tanpamu"

Akhirnya gadis itu merasa simpati dan bersetuju menerima Syeikh San'an menjadi bakal suaminya dan gadis itu juga mula merasakan kehangatan api cinta.

Akan tetapi untuk menguji Syeikh San'an lagi, gadis itu berkata" "Wahai manusia yang tidak sempurna!

Kini sebagai maskawinku, kau harus menjaga babi-babi pemeliharaanku selama setahun dan kemudiannya baharulah kita akan hidup bersama dalam suka atau duka!"

Tanpa sebarang bantahan seorang syeikh yang mulia ini dan berkiblat pada Ka'bah ini, bersetuju untuk menjadi penjaga babi.

Dalam fitrah kita masing-masing ada seratus babi.

Wahai kamu semua yang tidak bererti apa-apa!

Kamu hanya memikirkan syeikh yang terlibat dalam bahaya itu.

Sedangkan bahaya itu terdapat dalam diri kita masing-masing tatkala kita menegakkan kepala memulakan perjalanan mengenal diri.

Jika kamu tidak mengenal babi-babi kamu sendiri, maka kamu tidak akan mengenal Perjalanan itu.

Akan tetapi jika kamu menempuh perjalanan itu, kamu akan menemui seribu babi --- seribu patung pujaan.

Halau babi-babi ini, bakar patung-patung pujaan ini di atas dataran cinta atau jika tidak, kamu tidak lain hanya seperti syeikh itu, dihina oleh cinta.

Maka apabila berita tersebar bahwa Syeikh San'an telah menjadi seorang Nasrani, sahabat-sahabatnya amat bersusah hati.

Semua menjauhi daripada Syeikh San'an kecuali seorang yang bertanya padanya,

"Ceritakan pada kami rahasia peristiwa ini agar kami dapat menjadi orang-orang Nasrani bersama Tuan.

Kami tidak ingin Tuan tinggal dalam murtad seorang diri, maka kami akan mengenakan zunnar orang Nasrani.

Jika Tuan tidak merestuinya, kami akan kembali ke Ka'bah dan menghabiskan waktu kami dalam berdoa agar ingatan kami tentang peristiwa ini di luputkan dari fikiran kami.

Syeikh itu berkata, "Jiwaku penuh duka.

Pergilah ke mana keinginanmu membawamu.

Adapun bagiku gereja ini tempatku dan gadis Nasrani itu ditakdirkan untukku.

Tahukah kau, mengapa kamu bebas?

Itu kerana kamu tidak berada dalam keadaanku.

Jika kamu berada dalam keadaanku, tentulah aku mempunyai teman dalam percintaanku yang malang.

Maka kembalilah, sahabatku sayang, pulanglah ke Ka'bah kerana tidak seorang pun yang boleh dapat merasakan keadaan yang aku alami sekarang ini.

Jika mereka nanti menanyakan tentang diriku, katakanlah, ‘Matanya berlumuran darah dan mulutnya penuh racun.

Dia tetap berada dalam rahang naga-naga yang kejam.

Tiada seorang kafir yang bersedia melakukan apa yang telah dilakukan oleh si Muslim yang sombong ini lantaran pengaruh takdirnya.

Seorang gadis Nasrani telah menjerat leher si Muslim itu dengan ikatan seutas rambutnya.'

Jika mereka mencercaku pula, katakan pada mereka tentang ramai yang gagal dalam perjalanan yang tidak ada permulaan atau penghujung ini dan hanya mereka yang bernasib baik sahaja terselamat dari bahaya dan kejatuhan."

Dengan kata-kata itu Syeikh San'an pun memalingkan muka dari sahabatnya lalu kembali ke kawanan babinya.

Para pengikutnya yang sedang memerhati peristiwa itu dari jauh menangis pilu.

Akhirnya mereka berangkat kembali ke Ka'bah dengan perasaan malu dan kebingungan lantas menyembunyikan diri mereka dari masyarakat.

Di Ka'bah, Syeikh San'an mempunyai seorang sahabat yang bijak dan mengamalkan Perjalanan yang benar juga.

Tidak seorang pun yang lebih mengenali Syeikh San'an selainnya walaupun dia tidak ikut menyertai Syeikh San'an ke Yunani.

Apabila dia dia bertemu pengikut Syeikh San'an dan bertanya khabar berita sahabatnya, murid-murid Syeikh San'an pun memberitahunya segala perkara yang telah menimpa syeikh mereka.

Mereka menanyakan cabang pohon buruk yang manakah telah menusuk dada Syeikh San'an dan apakah semua ini terjadi kerana takdir.

Mereka menceritakan bagaimana seorang gadis kafir telah mengikat Syeikh San'an dengan seutas rambutnya sahaja dan menghalangi Syeikh San'an dari seratus jalan agama Islam.

"Dia bermain-main dengan rambut ikal dan tahi lalat gadis itu, dan telah membakar khirkanya.

Dia telah meninggalkan agamanya dan kini dengan mengenakan zunnar dia menjaga sekawanan babi.

Akan tetapi sungguhpun dia telah mempertaruhkan jiwanya sendiri, namun kami rasa masih ada harapan."

Mendengar kisah ini, wajah sahabat itu pun berubah warnanya menjadi keemasan dan dia mulai meratap sedih.

Kemudian katanya, "Teman dalam kesusahan, menurut agama tidak memandang lelaki atau perempuan.

Apabila seorang kawan yang sedang menderita kesusahan memerlukan pertolongan, kadang-kadang terjadi hanya seorang sahaja dalam seribu yang dapat menolong."

Kemudian dia menyesali perbuatan pengikut Syeikh San'an yang meninggalkan syeikh mereka. Mereka seharusnya juga menjadi orang-orang Nasrani demi syeikh mereka.

Tambahnya, "Kawan harus tetap menjadi kawan. Dalam kesusahanlah kamu akan mengetahui pada siapa kamu dapat bergantung. Ini kerana dalam kebahagiaan kamu akan mempunyai seribu kawan.

Kini di saat syaikh itu jatuh ke rahang buaya setiap orang menjauhkan diri darinya agar tetap dapat menjaga nama baik mereka sendiri.

Apabila kamu jauhi dia kerana peristiwa yang aneh ini, pastinya kamu telah diuji dan nyatalah kelemahan kamu."

"Kami menawarkan diri untuk tinggal bersama Syeikh San'an," kata mereka, "dan malah bersedia pula untuk menjadi penyembah patung.

Akan tetapi dia seorang yang berpengalaman dan bijak dan kami percaya padanya sehingga ketika dia mengatakan pada kami agar meninggalkannya seorang diri, kami pun kembali ke sini."

Sahabat itu menjawab, "Apabila kamu benar-benar ingin melakukan sesuatu, kamu harus mengetuk pintu Maha Penyayang lagi Pengasih.

Dengan ini, doa kamu akan diterima di hadiratNya.

Semestinya kamu bermohon sepenuh hati pada Maha Esa buat syeikh kamu.

Setiap dari kamu haruslah bermohon untuknya dengan berbagai doa.

Maha Agung pasti mengembalikan syeikh kamu apabila melihat keadaan kamu yang kebingungan dan bersungguh-sungguh.

Apakah yang menghalang kamu dari mengetuk pintu Maha Agung?"

Mendengar itu, mereka berasa malu untuk mengangkat kepala.

Akan tetapi sahabat itu berkata, "Kini bukan masanya untuk menyesal.

Mari kita pergi ke halaman Maha Indah.

Mari kita baring di debu dan menyelubungi diri kita dengan pakaian doa permohonan agar kita dikembalikan pemimpin kita!"

Murid-murid itu pun segera berangkat ke Yunani, dan setiba di sana mereka tinggal berdekatan dengan Syeikh San'an.

Empat puluh hari empat puluh malam mereka berdoa.

Selama empat puluh hari empat puluh malam ini, mereka tidak makan dan tidak tidur, mereka tidak menjamah roti atau pun minum air.

Akhirnya kekuatan doa orang-orang yang tulus ikhlas ini terasa di langit.

Para malaikat dan para pemimpin malaikat, dan sekalian Aulia yang berjubah hijau di puncak-puncak bukit yang tinggi dan di lembah-ruah, kini mengenakan dengan pakaian berkabung.

Panah doa itu telah sampai ke sasarannya.

Ketika pagi tiba, angin sepoi yang membawa bau wangian kesturi berhembus halus pada seorang pengikut setia yang sedang berdoa dalam biliknya.

Maka, dunia pun tersingkap di muka mata batiniyahnya.

Dia melihat Nabi Muhammad saw datang mendekati mereka, gemilang bagai pagi, dua ikal rambutnya terjurai di dadanya.

Bayang-bayang Maha Indah terzahir di wajah matahari, keinginan seratus dunia terikat pada setiap helai rambutnya.

Senyum baginda saw yang menawan memikat semua manusia kepadanya.

Pengikut setia itu bangkit dan berkata, "Wahai Rasulullah pemimpin sekalian makhluk, tolonglah kami!

Syeikh kami telah sesat.

Tunjukkan jalan padanya. Kami bermohon pada Tuan dengan nama Yang Maha Tinggi!"

Muhammad saw bersabda, "Wahai kamu yang melihat segala sesuatu dengan mata batin!

Berkat dari usahamu maka hasrat-hasratmu yang suci akan dikabulkan.

Antara syeikh dan Maha Esa sudah lama ada noda hitam.

Aku telah merenjis embun doa permohonan dan telah menebarkannya dari debu kehidupannya.

Dia telah bertaubat dan dosanya telah pun terhapus.

Kesalahan-kesalahan dari seratus dunia pun dapat lenyap dalam titisan embun pada saat keinsafan.

Apabila lautan rasa persahabatan mengalunkan ombak-ombaknya terhapuslah dosa-dosa lelaki dan wanita."

Pengikut Syeikh San'an itu berteriak kegembiraan sehingga membuat seluruh langit bergetaran.

Dia berlari menyampaikan berita baik itu pada kawan-kawannya, lalu sambil menangis kerana kegembiraan, kemudian dia bergegas ke tempat di mana Syeikh San'an menjaga babi-babinya.

Akan tetapi syeikh itu kini laksana api iaitu laksana orang yang diterangi cahaya.

Beliau telah melepaskan tali pinggang Nasraninya lalu membuang ikat pinggang itu, menyedarkan diri dari naungan kemabukan cinta dari kepalanya dan meninggalkan agama Nasrani.

Syeikh San'an merasa dirinya sepertimana dia sebelumnya dan sambil mencucurkan airmata penyesalan diangkatnya kedua belah tangannya ke langit dan segala yang telah ditinggalkannya --- al-Quran, segala rahasia dan ramalan datang kembali padanya.

Justeru itu, Syeikh San'an terbebas dari kesedihan dan kebodohannya.

Pengikutnya berkata pada Syeikh San'an, "Inilah saat kesyukuran. Nabi telah menjadi pengantara bagi Tuan.

Bersyukurlah pada Maha Pengasih lagi Maha Penyayang yang telah mengangkat Tuan dari lautan kegelapan dan menempatkan kaki Tuan di Jalan Terang."

Syeikh San'an mengenakan kembali khirkanya, melakukan penyucian, dan kemudian berangkat ke Hijaz.

Tatkala ini semua berlaku, gadis Nasrani bermimpi melihat matahari turun kepadanya, dan mendengar kata-kata ini,

"Ikuti syeikhmu, peluk agamanya, jadilah debunya.

Kau kotor, jadilah suci seperti dia kini.

Kau telah membawa dia ke jalanmu, sekarang ikuti jalan yang ditempuhnya."

Gadis itu terjaga dan terasa cahaya merekah menerangi jiwanya.

Justeru, timbul keinginannya hendak pergi mencari kebenaran.

Tangannya memegang kalbunya dan terasa kalbunya jatuh dari tangannya.

Akan tetapi ketika disedarinya bahwa dia berseorangan dan tidak tahu jalan yang dilihatnya dalam mimpi, maka kegembiraannya berubah menjadi kesedihan lalu dia lari keluar untuk menghilangkan keresahan dalam fikirannya.

Kemudian dia berangkat mencari Syeikh San'an dan murid-muridnya.

Akan tetapi dalam keletihan dan kebingungan juga kepenatan, dia menjatuhkan dirinya ke tanah dan berseru,

"Semoga Tuhan Sang Pencipta mengampuniku!

Aku seorang perempuan, meluat dengan hidup ini.

Janganlah kecewakan aku, lantaran aku telah menyengsarakanmu kerana kebodohanku, dan lantaran kebodohan itu aku telah banyak membuat kesalahan.

Lupakanlah kejahatan yang telah aku lakukan.

Kini aku menerima Kepercayaan yang benar."

Syeikh San'an terdengar akan seruan gadis Nasrani dari batinnya.

Beliau berhenti dan berkata, "Gadis remaja itu bukan kafir lagi.

Cahaya telah datang kepadanya dan dia telah mengikuti Jalan kita.

Mari kita kembali ke Yunani.

Dapatlah kini aku menjalinkan ikatan mesra dengan kekasih hati tanpa dosa."

Akan tetapi sahabat-sahabatnya berkata, "Kini apalah gunanya segala taubat dan penyesalan Tuan!

Hendak kembalikah Tuan pada kekasih Tuan?"

Syeikh San'an itu pun memberitahu mereka tentang suara yang telah didengarinya dan mengingatkan mereka bahwa beliau telah meninggalkan sikapnya yang lama.

Maka, mereka pun kembali hingga tiba di tempat gadis itu terbaring.

Wajah gadis itu telah berwarna kuning keemasan, kakinya tidak berkasut dan pakaiannya koyak-rabak.

Ketika Syeikh San'an membongkok padanya, gadis itu pengsan.

Ketika dia sedar kembali, airmatanya jatuh bagai embun dari bunga-bunga mawar, dan gadis itu pun berkata,

"Aku merasa begitu malu kerana perbuatanku terhadapmu.

Singkapkan tabir rahasia itu dan ajarkan Islam padaku agar aku dapat berjalan di Jalan itu."

Para sahabat Syeikh San'an mencucurkan airmata kegirangan ketika kekasih hati pujaan syeikh mereka yang jelita ini akhirnya tergolong di antara orang-orang yang beriman.

Akan tetapi hati gadis itu tidak sabar menunggu pembebasan dirinya dari kesedihan.

"Wahai, Syeikh," katanya, "kekuatanku sudah lenyap.

Aku ingin meningggalkan dunia yang berdebu dan bising ini.

Selamat tinggal, Syeikh San'an.

Aku mengakui segala kesalahanku.

Maafkan aku, dan biarlah aku pergi."

Maka gadis yang bagai rembulan ini, yang hanya telah melalui tidak lebih dari separuh dari hidupnya di dunia yang fana, kini kelihatan seperti nyawa-nyawa ikan.

Matahari pun bersembunyi di balik awan sementara ruh jelita gadis itu melepaskan diri dari jasadnya.

Gadis Nasrani yang hadir daripada setitik air di lautan khayalan, akhirnya kembali ke lautan hakiki.

Kita semua akan berlalu bagai angin.

Gadis jelita telah pergi dan kita semua juga akan bakal pergi.

Peristiwa-peristiwa demikian sering terjadi di jalan percintaan.

Ada kekecewaan dan belas kasihan, angan-angan dan kepastian.

Meskipun jasad nafsu tidak dapat memahami rahasia-rahasia itu, namun kesusahan tidak mungkin memukul-lepas bola polo keuntungan.

Kita harus mendengar dengan telinga hati dan fikiran, bukan dengan telinga jasmani.

Pergelutan jiwa dan jasad nafsu tiada akhirnya.

Berdukalah!

Ini kerana adanya alasan untuk berduka.

 ~ Dari KITAB Mantiqu't-Ta'ir :
     karangan As-Syaikh Fariddudin 'Attar~


Comments

Popular Posts